Friday, 6 April 2012

STPM TERBARU, SY TAK FAHAM

**1**

KUALA LUMPUR 7 Mac - Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan melaksanakan sistem pentaksiran baharu dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bermula sesi pengambilan 2012/2013 yang akan memulakan pengajian pertengahan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Maziyan Hamzah berkata, melalui sistem baharu itu pengajian peringkat STPM akan menggunakan sistem penggal dan pemarkahan tidak lagi bergantung 100 peratus pada peperiksaan.

Katanya, pengajian selepas ini akan dibahagikan kepada tiga penggal dan pelajar perlu menduduki peperiksaan di setiap hujung penggal.

"Akhirnya kesemua markah itu akan dicampur sebelum keputusan penuh dikeluarkan selepas menduduki peperiksaan penggal ketiga," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan STPM 2011 di sini hari ini.

Tambahnya, melalui sistem baharu itu juga pelajar mempunyai peluang untuk menambah baik keputusan mereka apabila diberi kelonggaran untuk menduduki semula peperiksaan penggal yang dirasakan perlu.

"Namun mereka hanya boleh mengulang peperiksaan penggal apabila sudah berada di pengajian penggal ketiga sahaja," jelasnya.

Menyentuh mengenai pemarkahan pula, beliau menegaskan bahawa, pemarkahan akan terbahagi kepada dua iaitu 60 hingga 80 peratus merupakan markah peperiksaan manakala baki 20 hingga 40 peratus adalah markah kerja kursus.

"Pembahagian markah itu bergantung kepada mata pelajaran yang diambil dan mereka wajib untuk menyiapkan kerja kursus bagi melayakkan menduduki peperiksaan," ujarnya.

Mengulas mengenai sistem baharu tersebut, Maziyan berkata, ia akan memberi kelebihan kepada pelajar kerana kandungan pengajian akan dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian mata pelajaran.

"Justeru pelajar akan diuji mengikut kelompok tajuk yang sedikit di setiap hujung penggal dan bukan lagi seperti sekarang yang akan diuji secara keseluruhan apabila menduduki kerusi STPM," jelasnya.

Bagaimanapun beliau memberitahu, tempoh pengajian dan peruntukan waktu pengajaran adalah sama seperti sedia ada dan bilangan mata pelajaran yang ditawarkan juga tidak berubah.


**2**

Majlis Peperiksaan Malaysia akan melaksanakan sistem pentaksiran baharu STPM bagi menggantikan sistem peperiksaan yang sedia ada bermula sesi pengambilan 2012/2013 bagi tingkatan enam bawah.

Menurut Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, ini adalah selaras dengan Program Transformasi Pendidikan dan bagi memperkasakan program pendidikan di tingkatan enam.

“Pada tahun 2012, sistem peperiksaan STPM akan dijalankan dalam dua mod. Mod pertama ialah sistem peperiksaan STPM sedia ada bagi pelajar yang sedang mengikuti tingkatan enam atas pada tahun 2012. Pelajar ini merupakan kohort terakhir yang akan menamatkan sistem peperiksaan STPM sedia ada.

“Mod kedua pula ialah bagi pelajar tingkatan enam bawah pada tahun 2012. Mereka merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal 1 persekolahan tingkatan enam pada November 2012, “ tambah Prof Dato’ Mohd Noh Alimin ketika mengumumkan analisis keputusan STPM 2011 pada 7 Mac 2012.

Menurut beliau, dalam sistem pentaksiran baharu STPM, tempoh pengajian tingkatan enam dan peruntukan waktu pengajaran adalah sama seperti tempoh dan waktu persekolahan yang sedia ada. Begitu juga dari segi penawaran bilangan mata pelajaran yang tidak berubah, iaitu masih 23 mata pelajaran dan sistem penggredannya yang masih sama dengan sistem yang sedia ada.

”Dari segi kandungan pengajian, dalam sistem ini, kandungan pengajiannya dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian bidang kajian disiplin berkenaan untuk mengisi tiga penggal, iaitu Penggal 1, Penggal 2, dan Penggal 3 dalam tempoh pengajian selama 1½ tahun, “ tambahnya.

Dalam aspek pentaksiran pula, dua kaedah pentaksiran akan dijalankan, iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20% hingga 40% dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60% hingga 80%. Buat pertama kalinya, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan dalam hampir semua mata pelajaran tingkatan enam. Ini merupakan “sejarah” bagi Majlis Peperiksaan Malaysia setelah terlibat dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun.

PBS ini terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu kerja projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran. Kerja kursus ini akan dijalankan dalam setiap penggal atau dalam penggal tertentu sahaja. Penilaian kerja kursus akan dibuat oleh guru mata pelajaran di sekolah dan penyelarasan pentaksiran akan dijalankan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia.

Pengenalan kepada PBS dalam sistem pentaksiran baharu STPM ini adalah selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membangunkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek serta memperluaskan peluang pendidikan kepada semua yang berpotensi.

Menurut Pengerusi MPM itu lagi, “Ini juga bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian agar lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil (outcome-based education) yang lebih berfokuskan pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.”

Pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal.

Satu kelebihan dalam sistem ini ialah pelajar diberi peluang untuk memperbaiki keputusan peperiksaan. Pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir Penggal 1 dan/atau Penggal 2 dengan menduduki semula peperiksaan pada hujung Penggal 3.

Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi Penggal 3 boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir Penggal 3. Selain daripada itu, beban bagi pelajar untuk mempelajari kandungan kurikulum adalah kurang dan mereka lebih fokus menghadapi pembelajaran.

Pelajar juga mempunyai peluang yang lebih besar untuk memperoleh pencapaian yang lebih baik bagi setiap penggal kerana skop pengajian yang dinilai pada setiap penggal adalah kecil.

Dengan pelaksanaan sistem itu, Majlis Peperiksaan Malaysia berharap ia dapat memperkasa dan mengangkat martabat pengajian peringkat prauniversiti di tingkatan enam serta dapat menarik lebih ramai lagi para pelajar mengikuti pengajian prauniversiti ini



**3**

Format baru STPM bentuk pembelajaran pelajar ala kampus

ROMBAKAN semula sistem peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memberi nafas baru kepada sistem pendidikan negara berasaskan peperiksaan oleh Kementerian Pelajaran, kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Sudah tiba masa sistem yang diperkenalkan sejak 1982 menggantikan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) daripada Higher School Certificate (HSC) disemak semula berikutan jumlah calon yang mengambilnya semakin berkurangan.
Bermula pengambilan Tingkatan Enam Bawah sesi pengajian Mei 2012, MPM terus melaksanakan Sistem Baharu STPM iaitu sistem modula menggantikan sistem terminal sebelum ini.

Berbanding sistem terminal, pelajar akan menduduki peperiksaan selepas satu setengah tahun menjalani pengajian. Kaedah ini dilihat lebih menyukarkan kerana minda pelajar diuji bermula daripada tahun pertama sesi persekolahan.

Berbeza dengan sistem STPM baharu ini yang lebih mesra pelajar, pencapaian mereka dinilai menerusi tiga peringkat ujian bermula penilaian pertama hujung tahun sesi persekolahan Tingkatan Enam Bawah. Penilaian seterusnya pada Tingkatan Enam Atas dua kali.

Ketiga-tiga penilaian itu bersifat anjal kerana pelajar berpeluang memperbaiki keputusan peperiksaan dan peluang memperoleh keputusan cemerlang lebih cerah. Penggubalan itu juga diharap dapat menarik lebih ramai lepasan SPM mengikuti pengajian melalui STPM dalam sistem persekolahan kementerian.

Menyedari pentingnya sistem penilaian lebih mesra pelajar itu, pelaksanaannya dapat mengurangkan kaedah lebih berorientasikan peperiksaan. Kumpulan pertama pelajar Tingkatan Enam Bawah akan menduduki peperiksaan secara rasmi kendalian MPN pada November ini.

Kumpulan ini juga akan menduduki peperiksaan kedua pada Jun. Tarikhnya pula akan ditetapkan MPM berdasarkan takwim persekolahan, manakala peperiksaan ketiga berlangsung pada November 2013. Penggubalan STPM baharu ini akan turut dibantu wakil daripada University of Cambridge Local Examinations Syndicate.

Pengambilan pelajar Tingkatan Enam Bawah bermula Mei ini juga adalah kohort pertama Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan dilaksanakan pada setiap penggal sepanjang tempoh persekolahan satu setengah tahun.

PBS pula, dilaksanakan dengan markah 20 hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat mewakili markah 60 hingga 80 peratus untuk menentukan tahap kelulusan setiap calon.

Pelaksanaannya pula merangkumi tiga kategori nilaian iaitu kerja kursus, projek atau tugasan serta tugasan amali.

Gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal ini akan menentukan pencapaian keseluruhan dalam STPM nanti. STPM baharu ini diharap dapat meningkatkan kualiti pelajar lepasan STPM sejajar matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Pengerusi MPM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata penggubalan itu sejajar dengan sistem penanda aras berdasarkan peperiksaan yang memerlukan perubahan mengikut keperluan semasa.

Perubahan itu, kata beliau penting bagi memastikan pelajar dapat bersaing sejajar perkembangan pendidikan dan ekonomi setempat serta perubahan global.

Beliau berkata, PBS turut mengambil kira pelbagai elemen murni untuk melahirkan generasi lebih berdaya saing, sekali gus dapat melahirkan insan cemerlang dalam akademik dan pembangunan sahsiah.

“MPM yakin penggubalan semula sistem peperiksaan dengan modul terminal kepada sistem modula ini dapat menarik lebih ramai pelajar lepasan SPM meneruskan persekolahan secara rasmi pada peringkat STPM pula.

“Rombakan ini juga bagi menyangkal andaian sesetengah pihak peperiksaan ini (STPM) sukar lulus dan membebankan pelajar yang terpaksa menjawab soalan daripada sukatan mata pelajaran yang dipelajari sejak satu setengah tahun yang lalu,” katanya.

Rasionalnya, Mohd Noh berkata, penggubalan sistem STPM sedia ada kepada PBS bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai sistem penilaian secara semester yang dipraktikkan dalam sistem pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pendekatan awal ini, katanya memberi peluang mereka membiasakan diri dengan sistem berkenaan sebelum melangkah ke menara gading selaras dengan konsep Tingkatan Enam yang lebih dikenali sebagai program prauniversiti.

Pelaksanaan itu juga sesuai dengan usia pelajar yang sudah dewasa dan masing-masing boleh melakukan tugasan tanpa perlu mendapat pengawasan sepenuhnya daripada apa yang dipelajari dalam bilik darjah.

Beliau berkata, pelajar berpeluang membentuk satu kumpulan untuk melaksanakan tugasan luar bilik darjah. Usaha murni ini juga dapat meningkatkan kemahiran kepemimpinan dalam kalangan pelajar dan membolehkan mereka bekerjasama dalam satu pasukan.

Katanya, sistem persekolahan berkenaan secara tidak langsung dapat membentuk senario pembelajaran seperti di dalam kampus sebelum mereka meninggalkan bangku sekolah dan meneruskan pengajian pada peringkat lebih tinggi.



**4**




ni bahan kongsi sy ari ne.. otak sy mmg blurr btingkat2 masa ni.. pening tengok STPM ni..
tp,tak pe,kalau ini jalan terbaik untuk sy capai cita2,insyaallah..
sy coba yg terbaik!
doakan saya berjaya,Amin~

No comments:

TERIMA KASIH SEMUA
Pink Transparent Valentine Balloon Heart